Bila sebut pasal berniaga, semua orang tahu apa itu berniaga. Tak payah nak cerita panjang lebar lagi mengenainya. Apa yang penting, sesuatu perniagaan yang kita jalankan itu mestilah halal dan tidak menyalahi undang-undang. Bukan susah sangat nak menjalankan perniagaan, macam-macam cara dan banyak jenis perniagaan kita boleh mulakan. Apa pun hati kita mestilah ikhlas dan jujur seperti pepatah inggeris ada menyatakan -- Honesty is the best policy.
Kita boleh mula berniaga dengan menjual goreng pisang dan menjual air batu sebagai penjaja, kedai runcit, menjadi kontraktor, menjual perkhidmatan, bermain saham dan seterusnya hingga berniaga secara online. Kalau kita ingin berniaga, tidak ada sesiapa boleh menghalangnya melainkan Allah sahaja. Malah Islam sendiri menggalakan kita berniaga.Peluang untuk kita berniaga ada dimana-mana, asalkan kita mahu membuatnya. Kami sendiri mengendalikan gerai menjual goreng pisang dan juga air soya / tau fu fa. Hasil dari pendapatan inilah membolehkan kami menyara hidup kami sekeluarga, anak-anak bersekolah, membeli kenderaan dan mempunyai komputer dan internet juga adalah hasil dari business tersebut.
Berniaga memang seronok walaupun mempunyai cabaran dan dugaan. Cabaran dan dugaan sudah menjadi 'mangli' bagi kami apatah lagi ketika mula-mula kami menceburkan diri dalam business ini, tetapi itu semua sudah menjadi alah bisa tegal biasa. Soal modal pula kita tak perlu bimbang, kita ada Amanah Ikhtiar, Tekun, Micro Kredit dan yang lain-lain. Ada juga sesetengah jabatan kerajaan memberi pertolongan keperluan asas untuk kita berniaga yang merupakan alat-alat dan mesin untuk kita mulakan perniagaan. Cuma satu sahaja yang perlu kita ingat, jangan membuat pinjaman dari Ah Long, kita mungkin akan 'mati berdiri' dikerjakan oleh mereka.
Bagi mereka yang ingin mula berniaga yang lebih besar, pihak MARA dan Bank-Bank sentiasa ada untuk membantu. Tetapi kita juga kena faham, berniaga secara besar-besaran cabarannya juga begitu besar sekali. Bagi saya jika betul-betul mahu berniaga, buatlah secara kecil-kecilan dahulu, tetapi jiwa dan cita-cita kita mesti besar, ' start small but think big, and you will grow bigger'. Cari makan dahulu, kemudian baru cari kaya. Kalau nak makan pun dah tak cukup macam mana nak jadi kaya, betul tak?. Ok la ye, jumpa lagi lain kali.
EmoticonEmoticon